Ahad, 21 Ogos 2011

LATIHAN MENDIDIK ANAK MENJADI INSAN YANG SOLEH DAN SOLEHAH




Ramadan ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang salih dan salihah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6.
Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah)

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bermaksud: 
“Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Maksudnya kanak-kanak tidaklah berdosa jika mereka meninggalkan puasa Ramadan.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa.


Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: 
“Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa. Malah Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 3 mengatakan bahawa: 
“Kanak-kanak dikehendaki berpuasa apabila mencapai umur tujuh tahun jika dia secara fizikal mampu melakukannya. Sesetengah ulama berpendapat, dia hendaklah didenda secara fizikal jika tidak berpuasa ketika umurnya 10 tahun. Ia sama seperti tindakan yang diambil jika tidak bersolat.”
Kenyataan ini bersesuaian dengan amalan dalam kalangan anak-anak pada zaman Rasulullah SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: 


“Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan sunat bagi ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka berpuasa dengan tujuan melatih mereka sekiranya mereka mampu. Malah sunnahnya amalan ini disokong oleh ulama salaf seperti Imam Syafie, Ibnu Sirin dan az-Zuhri.

Imam Nawawi memperincikan hadis di atas dengan berkata: 


“Begitu juga keadaan kanak-kanak yang hampir mencecah usia baligh, mereka perlu diberikan pelajaran segala bentuk ketaatan secara berperingkat. Ini kerana urusan Islam juga masuk secara berperingkat. Selagi ada kemudahan bagi mereka, mereka akan melakukannya, malah menambahnya, dan selagi ada kepayahan, mereka belum mampu melakukannya, dan jika mereka menyusahkan diri juga, maka mereka mustahil melakukannya.” (Syarh Sahih Muslim 6/170)

Malah Imam Bukhari membawakan kepada kita satu athar bahawa amalan berpuasa dalam kalangan kanak-kanak sudah lama dilakukan, malah ia menjadi tradisi pada zaman sahabat. Kisahnya suatu hari Umar al-Khattab telah dihampiri oleh seorang lelaki yang mabuk di bulan Ramadan. Lalu dia berkata kepadanya: 


“Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” Lalu beliau menyebatnya dengan 80 sebatan. (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)

Ada sebahagian ibu bapa yang menawarkan upah atau hadiah bagi anak-anak mereka yang berjaya menghabiskan puasa Ramadan. Amalan memberi upah ini bukanlah suatu yang melanggari syarak. Malah ia sesuai kepada mereka yang masih kanak-kanak.


Wassalam

Ditulis Oleh : Captain Hari: 12:30 PG Kategori:

0 ulasan anda:

Catat Ulasan

JOM TERJAH IKLAN

IKLAN BERBAYAR

FEEDJIT

ARKIB


get this

.


get this

,

Free Page Rank Tool My Ping in TotalPing.com Ping your blog, website, or RSS feed for Free free search engine submission BLOGGER INDONESIA