Isnin, 22 Ogos 2011

AMALAN DI MALAM LAILATUL QADAR




Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.“

Malam al-Qadar (Lailatul Qadar)

Salah satu kelebihan yang Allah SWT berikan untuk umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam al-Qadar’. Lailatul Qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan dan ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa pada siang hari dan beribadat pada sebelah malamnya.

Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah SWT telah berfirman:“Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan diberikan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah SWT. Gandaan pahala melakukan ibadah pada malam ini dikatakan mempunyai nilai lebih 29,500 kali ganda. Maka ianya boleh dijadikan perangsang kepada umat mukmin bagi melipat-gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan al-Mubarak.

Malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.

Allah SWT amat Penyayang kepada hamba-Nya sekiranya kita tidak berputus asa dan menggunakan sepuluh malam terakhir ini bagi menebus kesilapan seumur hidup kita yang lalu.

Firman Allah S.W.T: “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Al-Dukhan : 4)

Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ ialah pada malam tersebut Allah menentukan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur, sakit atau sihatnya seseorang dan ajal manusia untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun hadapan.

Amalan Pada Malam Lailatul Qadar
  • Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan Qiamullail terutama pada 10 hari yang terakhir.
  • Menggandakan amalan sunat pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
10 Malam Terakhir
  • Habiskan malam beramal ibadat di masjid (beriktikaf). 
  • Solat Qiamulail sebanyak mungkin. 
  • Solat Tarawih 20 rakaat, tanpa witir. 
  • Bermula 12 malam, Solat Tahajud 8 rakaat dan Solat Witir 3 rakaat.
Itikaf Lailatul Qadar

Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan dan waktu tamat iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid”. (Al-Baqarah: 187)

Daripada Aishah r.a telah berkata: “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)

Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata: “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan baginda”. ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).

Amalan Tengah Malam Lailatul Qadar

Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah:

  1. Mengambil wuduk dan mendirikan Solat Sunat Wuduk.
  2. Membaca surah Ali Imran; ayat 190 –200.
  3. Solat Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
  4. Membaca Al-Quran.
  5. Beristighfar dan berzikir.


6. Bertasbih dan berselawat
7. Bersolat Sunat.
Solat Sunat Tahajud – Memantapkan akidah dan tauhid. 
Solat Sunat Taubat – Mohon keampunan. 
Solat Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa. 
Solat Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat. 
Solat Sunat Witir. – Solat Penutup 

BERDOA

a. Saat Makbul Doa

Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
  1. Masa berlalunya separuh malam.
  2. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.

Ulama tasauf dan fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: “Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”

b. Doa Bertemu Lailatul Qadar

Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera kita membaca:

Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Bacalah:
اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.

“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.

c. Doa Di Malam Al-Qadar

Ini adalah salah satu doa di malam-malam Al-Qadar: malam ke 19, 21, dan ke 23 Ramadhan.

بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

اللهم صل على محمد وآل محمد

Allâhumma shalli ‘alâ Muhammad wa âli Muhammad
Ya Allah! Sampaikan selawat kepada Rasulullah SAW dan keluarganya

اَللَّهُمَّ اِنِّي اَمْسَيْتُ لَكَ عَبْداً دَاخِراً

Allâhumma innî amsaytu laka ‘abdan dâkhiran,
Ya Allah! Malam ini daku datang kepada-Mu sebagai hamba-Mu yang hina,

لاَ اَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً، وَلاَ اَصْرِفُ عَنْهَا سُوْءاً،
lâ amliku linafsî naf’an wa lâ dharrâ, wa lâ ashrifu ‘anhâ sûan,
Yang tidak mempunyai kemampuan untuk memberi manfaat dan mudarat dan tak mampu menyingkirkan keburukan dari diriku.

اَشْهَدُ بِذَلِكَ عَلَى نَفْسِي، وَاَعْتَرِفُ لَكَ بِضَعْفِ قُوَّتِي، وَقِلَّةِ حِيْلَتِي،
Asyhadu bidzâlika ‘alâ nafsî, wa a’tarifu laka bidha’fi quwwatî wa qillati hîlatî
Dengan itu daku bersaksi atas diriku dan mengakui di hadapan-Mu tentang kelemahanku dan ketidakupayaanku,

فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ،
Fashalli ‘alâ Muhammadin wa âli Muhammad
Sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad,

وَاَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي وَجَمِيْعَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ مِنَ الْمَغْفِرَةِ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ،
wa anjizlî mâ wa’adtanî wa jamî’al mu’minîna wal mu’minât minal maghfirati fî hâdzihil laylah
Kurniakan padaku malam ini, pengampunan dari-Mu sebagaimana telah Dikau janjikan padaku, pada kaum mukminin dan mukminat

وَاَتْمِمْ عَلَيَّ مَا آتَيْتَنِي
wa atmim ‘alayya mâ ataytanî
Sempurnakan padaku apa yang telah Dikau kurniakan padaku

فَاِنِّي عَبْدُكَ الْمِسْكِيْنُ الْمُسْتَكِيْنُ الضَّعِيْفُ الْفَقِيْرُ الْمَهِيْنُ.
fainnî ‘abdukal miskînul mustakîn, adhdha’îful faqîrul mahîn
Kerana aku adalah hamba-Mu yang miskin dan papa, lemah, fakir dan hina.

اَللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي نَاسِياً لِذِكْرِكَ فِيْمَا اَوْلَيْتَنِي،
Allâhumma lâ taj’alnî nâsiyan lidzikrika fîmâ awlaytanî
Ya Allah! Jangan biarkan daku lalai untuk mengingat-Mu, dalam pertolongan yang telah Dikau berikan,

وَلاَ لاِِحْسَانِكَ فِيْمَا اَعْطَيْتَنِي،
wa lâ li-ihsânika fîmâ a’thaytanî
dan kebaikan yang telah Dikau anugerahkan.

وَلاَ آيِسًا مِنْ اِجَابَتِكَ وَاِنْ اَبْطَأَتَ عَنِّي،
wa lâ âyisan min ijâbatika wa in abtha’ta ‘anni
Janganlah jadikan daku orang yang berputus asa dari balasan-Mu walaupunDikau menundakannya,

فِي سَرَّاءَ اَوْ ضَرَّاءَ، اَوْ شِدَّةٍ اَوْ رَخَاءٍ،
fî sarra’ aw dharra’ aw syiddatin aw rakhâ’
dalam suka atau duka, bahagia atau derita,

اَوْ عَافِيَةٍ اَوْ بَلاَءٍ، اَوْ بُؤْسٍ اَوْ نَعْمَاءَ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءِ
aw ‘âfiyatin aw bala’, aw bu’sin aw na’mâ’, innaka samî’ud du’â’.
Dalam keselamatan atau bencana, sengsara atau kenikmatan. Sesungguhnya Dikau Yang Maha Mendengar permohonan doa!
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)

Fadilat Lailatul Qadar

Jika 10 hari pertama adalah bulan penuh kerahmatan; 10 hari pertengahan Ramadhan sebagai hari pengampunan segala dosa; Maka 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Padanya terdapat ‘Malam al-Qadar’ yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa.

Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Wasallam.

Ditulis Oleh : Captain Hari: 2:23 PG Kategori:

0 ulasan anda:

Catat Ulasan

JOM TERJAH IKLAN

IKLAN BERBAYAR

FEEDJIT

ARKIB


get this

.


get this

,

Free Page Rank Tool My Ping in TotalPing.com Ping your blog, website, or RSS feed for Free free search engine submission BLOGGER INDONESIA