Sabtu, 5 Mac 2011

APA MAKNA ZIKIR KEPADA ALLAH?




MAKSUDNYA:

Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada Hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah (zikrullah) dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.(Al-Jumuah 62:9–10)

Apabila telah ditunaikan salat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah (zikrullah) banyak-banyak supaya kamu beruntung.


TAFSIRAN AYAT:

Menurut keyakinan kita orang Islam (Aqidah Islamiyyah) bahawa semua makhluk yang wujud ini adalah kenal kepada Allah dan semua mereka berzikir kepada Allah, bertasbih dan sujud kepadaNya walaupun kita tidak mengetahui secara pasti bagaimana kaifiyat (cara) mereka sujud, zikir dan bertasbih. Ilmu tentang itu hanya ada di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’aala. Tidak ada satu pun makhluk yang berada di alam maya ini yang bolih meninggi diri di hadapan kebesaran Allah.

Allah SWT berfirman:

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha pengampun. (Al-Israa 17:44)
Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepadaNya.(Ar-Ra’d: 13)
Matahari dan bulan (beredar) menurut perhitungan. Dan bintang-bintang dan pohon-pohon kedua-duanya sujud kepada Nya. (Ar-Rahman 55:5-6)
Jadi kalaulah semua makhluk yang tidak berakal mereka berzikir, bertasbih dan sujud kepada Allah Azza Wa Jalla sebagaimana kandungan ayat-ayat di atas, bukankah ini bererti bahawa manusia sebagai makhluk yang paling istimewa lebih utama untuk berzikir, bertasbih dan sujud kepadaNya? Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman agar berzikir kepadaNya:
Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah, (dengan) zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.(Al-Ahzab 41-42)

Di dalam ayat di atas, zikir disebut terlebih dahulu daripada tasbih kerana tasbih adalah salah satu jenis daripada zikir. Ini sebagaimana al-Quran menyatakan bahawa makna zikir adalah lebih umum dan lebih luas daripada tafkir (berfikir) kerana zikirlah yang mendorong seseorang agar memikirkan makhluk ciptaan Allah.


Apa makna zikir kepada Allah?

Mengapa Allah menyuruh mukminin agar berzikir sebanyak-banyaknya kepadaNya?

Sebelum kita menjawab pertanyaan di atas, terlebih dahulu marilah kita perhatikan sampai di manakah kesesuaian sesetengah zikir yang dilakukan olih sebahagian golongan pada hari ini dengan ajaran Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam)? Mereka berzikir dengan suara yang nyaring sambil menggoyang-goyangkan badan ke kiri dan ke kanan, malahan ada yang sampai dalam tidak sedarkan diri.

Mereka mendakwa kononnya begitulah cara berzikir yang paling afdhal. Tetapi sebenarnya mereka bukanlah berzikir. Mereka pada hakikatnya telah menghabiskan kehidupan mereka dengan mengikuti cara Yahudi dan penyembahan berhala.

Al-Quran telah menjelaskan kepada kita tentang as-Samiry iaitu orang yang telah berjaya menyesatkan kaum Musa (as) supaya menyembah ‘Ijl (patung anak lembu yang dibuat daripada emas). Para Mufassirin (ulama tafsir) menjelaskan bahawa cara mereka memuja ‘Ijl itu ialah dengan berzikir sambil menggoyang-goyangkan badan. Demikian juga pemujaan di kalangan golongan yang berpahaman animisma, sebagaimana kita saksikan pada masyarakat primitif.

Imam al-Qurthuby meriwayatkan di dalam tafsirnya bahwa Imam Abu Bakar al-Tharthusy ketika ditanya tentang amalan zikir golongan di atas, lalu beliau menjawab:

(Berzikir sambil menggoyang-goyangkan badan itu adalah puak yang jahil dan sesat. Tidaklah Islam melainkan Al-Quran dan Sunnah RasulNya. Adapun berzikir sambil menggoyang-goyangkan badan dan tidak sedarkan diri, yang mula-mula menciptakan cara zikir ini ialah as-Samiry iaitu ketika ia menyuruh kaumnya agar menyembah ‘Ijl (patung anak lembu). Ini adalah agama kafir dan amalan penyembah berhala)

(Diambil dari kitab : Allah Dalam Akidah Islam, olih: Ahmad Bahjad, Cairo, halaman 183)

Jika kita jauhi zikir cara di atas, kalau begitu apakah maksud zikir dan bagaimanakah cara Rasul berzikir?

Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) kalau sedang duduk berzikir dengan para sahabatnya, seolah-olah di atas kepala mereka masing-masing ada burung yang sedang bertengger. Demikianlah gambaran betapa senyap, hening dan tenangnya keadaan mereka berzikir kepada Allah. Sungguh tepat firman Allah SWT:

Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak menyaringkan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.(Al-A’raaf 7:205]

Sesungguhnya zikir yang paling sederhana ialah zikir dengan lisan, seperti menyebut-nyebut nama-nama Allah. Dan darjat zikir yang lebih tinggi daripada zikir-zikir tersebut ialah menghadirkan konsep Allah di dalam hati.

Selain zikir lisan dan zikir hati, ada lagi jenis zikir yang lebih tinggi darjatnya iaitu melaksanakan hukum Allah di atas muka bumi, mengamalkan kandungan al-Quran di dalam kehidupan sehari-hari.

Zikrullah adalah kehidupan, kerena manusia adalah makhluk yang akan musnah, sedangkan Allah adalah Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri. Berhubungan dengan Allah berarti kita berhubungan dengan kehidupan hakiki.

Sungguh tepat ungkapan Nabi (sallallahu alayhi wasalam):


Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah seperti perbandingan antara orang hidup dengan orang mati.

Zikrullah adalah ibadah, seperti solat, puasa, haji, jihad pada jalan Allah. Zikrullah adalah keilkhlasan. Zikrullah adalah cinta kepada Allah. Zikrullah juga mengandungi makna mengenal kehidupan dan segala cabarannya, mengenal ilmu pengetahuan dan hakikatnya.

Jadi adalah keliru sikap orang yang membatasi makna zikir hanya pada zikir lisan dan hati saja. Sebenarnya zikir amal adalah lebih tinggi daripada kedua-duanya.

Memisahkan antara zikir lisan dan zikir hati dengan zikir amal berarti dengan memisahkan antara akidah dengan syari’ah atau antara iman dengan amal. Inilah bid’ah yang dicipta oleh orang akhir zaman, yang keadaan ini tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah (salallalhu alayhi wasalam). Malahan jenis zikir yang paling popular di zaman beliau adalah justeru zikir amal. Hakikat ini tergambar jelas dengan terwujudnya Negara Islam Madinah dan semangat jihad pada jalan Allah.

Pada asalnya maksud zikrullah ialah agar dapat memberi kesan kepada kehidupan dan dapat dirasakan kebaikannya olih manusia ramai. Kesan positif yang dimaksud itu tidak akan dapat dicapai kecuali melalui zikir amal. Zikir amal dapat membawa kepada kejayaan dan keberuntungan.

Firman Allah SWT:


Dan berzikirlah kepada Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. (Al-Jumu’ah 62:10)

Adapun zikir lisan dan zikir hati. Kebaikannya hanya untuk peribadi orang berkenaan sahaja. Faedahnya tidak dapat dirasakan olih orang lain. Kedudukannya secara peribadi di sisi Allah memang mulia. Ini sebagaimana firman Allah di dalam hadis al-Qudsi:


Aku (Allah) akan duduk bersama dengan orang-orang yang berzikir kepadaKu.

Jadi di atas dasar ini semua maka kita hendaklag menggabungkan antara jenis-jenis di atas pada diri kita. Kita hendaklah banyak menyebut nama Allah, kita mestilah sematkan di dalam hati akan kebesaran dan ingat akan hukum-hakam Allah, dan selanjutnya kita laksanakan dengan anggota segala ketentuan Allah SWT.

Perhatikanlah ayat-ayat bab di atas (al-Jumu’ah; 9-10). Ayat ini menggabungkan antara dua jenis zikir dimaksud. Zikir pertama bermaksud: Mendirikan solat Jumaat. Inilah jenis zikir lisan dan hati. Sedangkan zikir kedua pula bermaksud: zikir amali iaitu kerja-kerja dalam kehidupan harian dalam menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Dan dengannya kita bolih mendapat kejayaan.

Allah SWT berfirman: 
Wahai anak Adam, jika kamu berzikir (ingat) kepadaKu di dalam hatimu nescaya Aku akan ingat kepadamu dalam diriKu, dan jika kamu berzikir kepadaKu di khayalak ramai, niscaya Aku akan ingat kepadamu di khayalak ramai yang lebih baik daripadanya, dan jika kamu menghampiri Aku sejengkal, niscaya aku akan menghampiri kamu sehasta, dan jika kamu menghampiri Ku sehasta, niscaya Aku akan menghampirimu sedepa, dan jika kamu menghampiriKu dengan cara berjalan, niscaya Aku akan menghampirimu dengan cara berlari. (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Hadis di atas menyatakan tentang beberapa jenis zikir. Maksud zikir manusia kepada Tuhannya di dalam dirinya ialah zikir lisan dan zikir hati. Sedangkan zikir manusia kepada Tuhannya di khayalak ramai maksudnya ialah amal iaitu melaksanakan hukum-hakam Allah di atas permukaan bumi ini. Oleh sebab itu zikir kepada Allah tidaklah terbatas pada waktu-waktu tertentu, tetapi semua waktu adalah sesuai untuk berzikir.

Oleh sebab itu sekiranya manusia menginginkan agar hidupnya senantiasa diberkati dan dicucuri rahmat olih Allah SWT mereka hendaklah senantiasa berzikir kepada Allah dalam pengertian yang kita jelaskan di atas.

Dan ini sangat sesuai dengan janji Allah SWT:
Kerana itu, berzikirlah (ingatlah) kepadaKu niscaya Aku akan ingat kepadamu (al-Baqarah 2:152)

Syekhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud menafsirkan ayat di atas, (ingatlah kepadaKu): merendah dirilah kamu terhadap ke AgunganKu, (niscaya Aku ingat kepadamu): niscaya Aku akan cucuri rahmat dan berkat dalam hidupmu serta Aku akan ampuni dosa-dosamu.


Wasallam.

Ditulis Oleh : Captain Hari: 8:00 PG Kategori:

0 ulasan anda:

Catat Ulasan

E-CERPEN

E-CERPEN

JOM TERJAH IKLAN

IKLAN BERBAYAR

FEEDJIT

.


get this

,

Free Page Rank Tool My Ping in TotalPing.com Ping your blog, website, or RSS feed for Free free search engine submission BLOGGER INDONESIA